Catatanku
Selasa, 17 April 2007
Menyelami Kehidupan Arab Badwi

Aku berkesempatan menenangkan fikiran di puncak bukit bersama kawan-kawan di Kawkaban, sebuah perkampungan Arab yang jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota.

Aku bertolak ke sana menaiki bas University of Science & Technology pada jam 12 tengah hari waktu tempatan...dan sampai di bandar Shibam dua jam selepas tu.

Abang ‘S’. Seorang warganegara Malaysia yang tika ini bertugas sebagai Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa di University of Science & Technology, Sana’a. Dialah yang mengetuai rombongan rehlah yang aku ikuti.

Aku mula mendaki kaki bukit yang terletaknya bandar Shibam, menuju ke perkampungan Kawkaban yang tinggi di puncaknya. Itulah destinasi kami. Walaupun bukit-bukit yang terpasak di bumi Arab ini tidaklah sebagaimana keadaannya seperti di tanahair tercinta, dilitupi dengan pepohon yang menghijau. Namun, pendakiannya tidaklah semudah yang aku jangkakan. Ianya dipayahi dengan batu-batan yang bertaburan sini sana. Dari sebesar ibu jari hinggalah sebesar-besar saiz. Pelbagai rupa bentuk pastinya. Selepas dua jam aku dan kawan-kawan bermandi peluh bercampur curahan air hujan, akhirnya aku berjaya sampai ke puncaknya. Puas.

Selepas sarapan yang bermenukan maggi dan roti Arab pada keesokan paginya, aku dan kawan-kawan bertolak untuk memulakan satu perjalanan yang jauh. Letih, tetapi begitu menyeronokkan. Perjalanan melintasi perkampungan Arab badwi dengan merentasi bukit-bukit dan juga curam yang tajam, ditambah pula dengan cuaca yang sejuk itu, mengingatkanku betapa sukarnya kehidupan masyarakat tempatan di sini.

Sepanjang perjalanan, apa yang dapat aku saksikan ialah rata-rata kehidupan masyarakat Arab di sini agak menyebakkan. Perkampungan mereka jauh terpencil daripada dunia kemodenan. Kesusahan. Kepayahan. Sumber pendapatan mereka pula ialah dengan bertani dan menternak. Mereka hanyalah menggunakan sumber air dari takungan serta alur-alur yang dibina dicelah-celah bukit bagi meneruskan kehidupan seharian.

Sejenak, kotak fikirku terkenang kepada tanah ibunda, Malaysia. Sesudah aku berkelana keluar darinya, juga pabila terlihat panorama kehidupan kaum Arab badwi di desa maha kuno ini, baruku sedar. Aku sedari yang betapa kita di Malaysia beruntung.

Kita beruntung kerana kita dilimpahi sejuta rahmat. Tentunya rahmat yang dikurniai atau di‘pinjam’kan buat kita oleh Tuhan maha Penyayang. Aliran nikmat dari perut bumi dan lapisan langit bagai tak jemu dikecapkan. Sejak dari kita celik mata di pangkuan bonda puluhan tahun atau belasan tahun dahulu, sudah tersedia pelbagai kemudahan yang tak terbilang.

Kenapa dan mengapa sekejap tadi aku katakan bahawa rahmat jua kenikmatan yang kita kecapi tak ubah bagai satu pinjaman? Kerana aku simpulkan segala rupa kurniaan tersebut hanya seumpama titi. Sebuah jambatan. Jambatan untuk sesama dilintasi bagi memulangkan kembali hasil daripada setiap inci kurniaan yang telah kita pinjam kepada-Nya. Adakah telah kita guna sebaiknya pinjaman tersebut, demikian itu sangat bahagia sudahnya. Atau celakalah sekiranya pinjaman itu dipersia. Tanpa bertawajuh kepada-Nya, Rabbul Jalil.

Insaf aku insaf. Rupanya di waktu yang sama, sedang aku bersedap dengan segala kurniaan nikmat, kala itu juga masih wujud saudara seIslamku yang sedang meneruskan baki kehidupan mereka dengan penuh kepayahan. Keperitan. Mungkin juga dengan seribu penderitaan.

Tidak ku mahu salahkan sesiapa dengan tudingan telunjuk. Cuma apa yang dapatku ceduk dari pengalaman berhargaku ini ialah ingin aku menyeru diri sendiri dan pembaca semua dengan sepatah pesanan. Boleh juga jika kalian mahu kata apa yang akan ku katakan ini sebagai satu nasihat.

Inilah kalamku. Usah sesekali kita terlalai atau sengaja melalaikan diri dalam menikmati kurniaan rahmat Tuhan. Andai begitu, seolah kita mengatakan bahawa kehidupan dunialah segala-galanya. Padahal, akhirat jualah tujuan kita.

Dari itu, pergunakanlah kurniaan tersebut seeloknya. Bantu-membantulah kita sesama agama dan sesama bangsa ‘keinsanan’ semampunya. Infaqkanlah apa yang kita punya seadanya. Sebagaimana saranan Tuhan Pemilik abadi akan seluruhnya.

Itu saja. Nanti kalau berpeluang lagi aku menjelajah negeri asing yang tersirat padanya jutaan hikmah Sang Penguasa ini, akan ku sambung lagi CACATANKU ini – dengan keizinan-Nya jualah ku harapkan. Hingga ketemu...










posted by Ayub @ 2:51 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home