Adik Nurin, Mangsa ‘Noda Modenisasi’
Khamis, 4 Oktober 2007

- Dipinjam Dari Laman PERMAYA Online

Entah apa yang harus diperkatakan lagi. Tiada penawar yang dapat mengubatinya lagi. Hanya khabar dan khabar lagi. Hampir setiap ketika dan saban hari. Fenomena ini belum pun menjelmakan tanda-tanda keinsafan diri. Terus berlarutan tanpa henti-henti. Tidak mengendah, walaupun masyarakat hingar mengutuk tanda simpati.

Takziah kami ucapkan. Simpati kami lahirkan. Namun begitu, masih tidak mampu bagi kami untuk meluahkan belas yang begitu membungkam. Atas dasar ‘cinta’ ini, kami daripada Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) turut bersikap mengutuk kejadian pilu ini. Sekaligus menegaskan bahawa kami akan bersama pencinta keharmonian Islam dengan terus memperjuangkan agenda meruntuhkan segala bentuk penganiayaan, penindasan, kezaliman, dan ketidak adilan.

Adik Nurin kini telah menjadi salah seorang daripada sekian ramai mangsa ‘manusia binatang’ ini. Bayangkan andainya kita di tempat keluarga mangsa ketika ini. Tambahan pula ianya berlaku ketika tirai Ramadhan baru sahaja dibuka. Ya, begitu memeritkan. Amat melukakan. Tidak ada yang dapat memastikan bahawa peristiwa tragis ini tak akan berulang. Bahkan tidak dapat disangkal kemungkinan kejadian ini akan terus berlarutan. Kenapa?!

Bukankah pihak berkuasa dan yang bertanggung jawab telah bertungkus-lumus menyelesaikannya pabila saban kali tragedi ngeri ini berlaku? Pelbagai usaha untuk memulihkannya telah dijalankan? Bermacam kempen memeranginya telah diuwarkan? Tetapi semua itu masih belum membuahkan hasilnya yang ranum. Kalu ada pun, udah ditebuk burung atau tupai. Masih tidak menampakkan kejayaannya. Kenapa?

Ayuh sahabat, mari kita kembali kepada azali. Amat perlu untuk kita membelek semula helaian Al-Quran yang tersimpan di rak-rak hiasan. Sangat wajar untuk kita menekuni, mengkaji, seterusnya mencipta satu formula baru dari kitab suci itu bagi membunuh virus kebobrokan sistem fe’el masyarakat kini. Inilah buah dari modenisasi yang tidak terkawal. Yang tidak mengenal Pencipta. Yang melupakan Penguasa. Penuh noda. Amat menakutkan.

Semua daripada kita sudah tidak selamat walaupun di desa sendiri. Anak-anak perlu diawasi walau hanya ke pasar malam ataupun ke pusat tuisyen. Hatta di sekolah sendiri. Hari ini mereka, siapa sangka besok kita pula?

“Ya Allah, Tuhan Penguasa alam, amankanlah kami dari amarahmu ini ya Allah”

Ayuh, jangan dilengahkan lagi. Inilah saat kita perlu kembali!!!


Ahmad Bilal Bin Rahudin
Pemangku Presiden,
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA)
posted by Ayub @ 9:02 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home