Puasa Sunat
Isnin, 29 Oktober 2007
Oleh: PERMAYA Online

(Diterjemahkan dari buku Puasa, Hikmah dan Hukum oleh: Syeikh Abdul Majid Aziz Az-Zindani)

Wajib ke atas seorang Mu'min berpuasa apa yang telah difardhukan oleh Allah terhadapnya, dan mengqada apa yang dia berbuka pada Ramadhan dengan keuzuran, dan yang lebih utama bahawa dia tidak berpuasa sunat sehinggalah dia mengqada apa yang dia terlepas dari Ramadhan, kerana mengqada yang fardhu lebih utama daripada melakukan yang sunat. Dan puasa Sunat ada beberapa jenis:

1 – Yang paling afdhal di antaranya adalah berpuasa sehari dan berbuka sehari, kerana apa yang sabit daripada Abdullah bin Amr, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah [maksudnya]: (Puasa yang paling disukai di sisi Allah Taala adalah puasa Daud, dia berpuasa sehari dan berbuka sehari)[1].

2 – Puasa hari-hari putih; iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas pada setiap bulan, kerana apa yang sabit daripada hadith Abi Qatadah, bahawa Nabi bersabda [maksudnya]: (Tiga hari dari setiap bulan dan Ramadhan ke Ramadhan, ini adalah puasa setahun seluruhnya)[2].

3 – Puasa Isnin dan Khamis: Kerana Baginda dahulunya berpuasa dua hari berkenaan, lalu Baginda di tanya mengenainya, maka Baginda bersabda [maksudnya]: (Sesungguhnya amalan-amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, dan aku mahu dibentangkan amalanku dalam keadaan aku berpuasa)[3].

4 – Enam hari daripada Syawal: Kerana apa yang sabit daripada Abi Ayyub, bahawa Rasulullah telah bersabda [maksudnya]: (Sesiapa yang puasa Ramadhan dan mengikutkannya enam [hari] daripada Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa setahun)[4].

5 – Puasa Muharram: Kerana apa yang sabit daripada Abi Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda [maksudnya]: (Seafdhal-afdhal puasa selepas Ramadhan adalah bulan Allah; Muharram)[5].

6 – Puasa hari Asyura: Kerana apa yang sabit daripada hadis Abi Qotadah, bahawa Nabi telah bersabda berkenaan puasa hari Asyura [maksudnya]: (Sesungguhnya aku berharap kepada Allah supaya dihapuskan [dosa] tahun yang sebelumnya)[6].

7 – Puasa sepuluh hari [awal] Zulhijjah: Kerana apa yang sabit daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah telah bersabda [maksudnya]: (Tiada sebarang hari yang amalan soleh padanya disukai di sisi Allah lebih daripada Hari-hari yang Sepuluh)[7].

8 – Puasa hari Arafah dan ia kafarah untuk dua tahun: Kerana apa yang sabit daripada Abi Qatadah, bahawa Rasulullah telah bersabda [maksudnya]: (Puasa hari Arafah menghapuskan [dosa] dua tahun; tahun yang telah lalu dan tahun yang akan datang)[8].

9 – Puasa kebanyakan Syaaban: Kerana apa yang sabit daripada Aisyah -رضي الله عنها-, beliau telah berkata:

(Tiadalah Baginda berpuasa pada mana-mana bulan, apa yang Baginda puasa di dalam Syaaban. Baginda berpuasanya melainkan sedikit, bahkan Baginda berpuasanya keseluruhannya) Dan di dalam satu lafaz (Aku tidak melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan sama sekali melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat Baginda dalam mana-mana bulan lebih banyak padanya berpuasa [seperti] di dalam Syaaban)[9].

10 – Puasa dari bulan-bulan Haram; iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab: Kerana apa yang datang bahawa Baginda telah bersabda [maksudnya]: (Berpuasalah daripada [bulan-bulan] Haram dan tinggalkanlah, berpuasalah daripada [bulan-bulan] Haram dan tinggalkanlah, berpuasalah daripada [bulan-bulan] Haram dan tinggalkanlah)[10].

Apa Yang Makruh Puasanya:

1 – Dimakruhkan berpuasa setahun: Kerana apa yang sabit dari hadith Abdullah bin Amr, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah [maksudnya]: (Tidak berpuasa sesiapa yang berpuasa setahun)[11].

2 – Dimakruhkan menunggalkan Rejab untuk berpuasa: Kerana apa yang diriwayatkan, bahawa Umar telah memukul tangan orang-orang yang berpuasa Rejab sehinggalah mereka meletakkannya pada makanan, dan beliau berkata: (Makanlah! Ia hanyalah bulan yang dahulunya diagungkan oleh masyarakat Jahiliah) serta beliau berkata: (Berpuasalah daripadanya dan berbukalah)[12].

3 – Dimakruhkan menunggalkan Jumaat untuk berpuasa: Kerana apa yang sabit daripada Nabi, bahawa Baginda telah melarang daripada berpuasa hari Jumaat dan di dalam satu riwayat Baginda memperakui dan berpuasa. Daripada Abi Hurairah, bahawa Nabi telah bersabda [maksudnya]: (Janganlah seseorang di kalangan kamu berpuasa hari Jumaat melainkan dia berpuasa sebelumnya atau dia berpuasa selepasnya)[13].

4 – Dimakruhkan menunggalkan hari Sabtu untuk berpuasa: Kerana apa yang datang dari hadith Abdullah bin Bisr, beliau berkata: (Telah melarang Rasulullah daripada puasa hari Sabtu melainkan di dalam yang fardhu), dan Baginda bersabda [maksudnya]: (Sekiranya tidak mendapati seseorang di kalangan kamu melainkan kulit pokok, maka hendaklah dia berbuka dengannya)[14].

5 – Dimakruhkan berpuasa hari Syak kerana sunat; iaitu hari ketiga puluh Syaaban, kerana kata-kata Ammar [maksudnya]: (Sesiapa yang berpuasa hari yang diragui padanya, maka dia telah mengingkari Aba Al-Qasim)[15].

Apa Yang Diharamkan Puasanya:

1) Diharamkan berpuasa pada Dua Hari Raya: Kerana apa yang sabit dari hadith Abi Said, bahawa Rasulullah telah melarang dari berpuasa pada dua hari; Hari Fitrah dan Hari Nahr[16].

2) Diharamkan berpuasa hari-hari Tasyriq: Kerana apa yang datang daripada Saad bin Abi Waqqas, beliau berkata: Telah memerintahkan daku Nabi, supaya aku menyeru pada hari-hari Mina (iaitu hari-hari Tasyriq), bahawa ia adalah hari-hari makan dan minum, serta tiada puasa di dalamnya[17].

3) Diharamkan mempercepatkan Ramadhan sehari atau dua hari dengan berpuasa: Kerana apa yang sabit dari hadith Abi Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda [maksudnya]: (Janganlah seseorang di kalangan kamu mempercepatkan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari, melainkan dia adalah seorang lelaki yang sedang berpuasa satu [bentuk] puasa, maka hendaklah dia berpuasa [pada]nya)[18].


_________________
[1] Sahih Al-Bukhari no. 198 dan Muslim 191.
[2] Sahih Muslim, nombor hadith 1162.
[3] Dikeluarkan oleh At-Tirmizi no. 747, dan beliau berkata: Hadith yang hassan ghorib.
[4] Sahih Muslim, nombor hadith 1164.
[5] Sahih Muslim, nombor hadith 1163.
[6] Sahih Muslim, 196.
[7] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam Sahih.
[8] Sahih Muslim, nombor hadith 196.
[9] Sahih Al-Bukhari, nombor hadith 1996 dan Sahih Muslim, nombor hadith 176.
[10] Sunan Abi Daud, 1\738, dan didhoifkan oleh Al-Albani di dalam Dhoif Abi Daud, 1\240.
[11] Sahih Al-Bukhari, nombor hadith 1977 dan Sahih Muslim nombor, hadith 1159.
[12] Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah, dan disahihkan oleh Al-Albani di dalam Irwa' Al-Ghalil
[13] Sahih Al-Bukhari, nombor hadith 185 dan Sahih Muslim, nombor hadith 147.
[14] Dikeluarkan oleh Ahmad, 6\368, dengan nombor 27120. berkata Syuaib Al-Arnawut: Perawi-perawinya thiqaat.
[15] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud serta At-Tirmizi, no. 744, dan beliau berkata: Hadith yang hassan.
[16] Al-Bukhari, nombor hadith 1197 dan Sahih Muslim nombor, hadith 140.
[17] Dikeluarkan oleh Muslim; 3\153 dan Ahmad; 3\210. Disahihkan oleh Al-Albani di dalam Al-Irwa' 4\128. Melainkan bahawa boleh untuk orang yang melakukan Haji Tamattu' apabila dia tidak memperoleh had’yi [binatang sembelihan] untuk berpuasa pada hari-hari Tasyriq.
[18] Al-Bukhari, no. 1914 dan Muslim no. 21.
4\114.
posted by Ayub @ 8:43 PG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home