Kenapa Kita Beriman Kepada Allah SWT?
Jumaat, 26 September 2008
Beriman kepada Allah SWT adalah fitrah kejadian manusia kerana tidak seorang pun yang mampu mengingkarinya. Adapun orang-orang syirik yang mengingkari kewujudan Allah SWT, mereka berhujah dengan penuh kesesatan dan kebatilan. Malah mereka tidak menzahirkannya disebabkan oleh keangkuhan dan kesombongan yang ada dalam diri mereka untuk menerima kebenaran. Tetapi, sikap mereka berubah dan akan mengakui kewujudan Tuhan apabila ditimpa bala di darat, laut, dan juga di langit. Lalu mereka bermunajat dan berharap pada Allah azzawajalla sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

{"Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur".} [Al An'aam: 63]

Ayat ini menerangkan kepada kita bagaimana Allah SWT telah menurunkan azab seksa-Nya kepada Firaun yang mendakwa dirinya sebagai tuhan dengan berkata “aku adalah Tuhan kamu yang tinggi”. Allah SWT abadikan kata-kata ini di dalam Al-Quran yang bermaksud:

{aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku;} [Al-Qasas: 38]

Maka tatkala apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia pada saat yang genting itu, seperti mana yang dirakamkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

{"Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.} [Yunus: 90,91].

Dan diceritakan sesungguhnya Lenin (ketua Komunis di Rusia) di saat hampir kematiannya dia menyeru kepada rakyatnya: “Tolong carikan aku rahib (pendeta).

Vladimir Lenin, lahir 22 April 1870 dan mati 21 Januari 1924. Pemimpin utama Revolusi Bolshevik. Beliau merupakan Pemimpin pertama bagi Republik Sosialis Soviet Russia. Dia dikenali sebagai pengamal yang melaksanakan teori Marxisme dan seorang ahli politik Komunis yang komited dengan fahaman tersebut.

Beliau berketurunan Yahudi dari sebelah ibunya dan isterinya juga seorang Yahudi. Ketika hampir waktu kematiannya kira-kira umur beliau 53 tahun, beliau menderita penyakit siflis. Bagaimanapun, ramai pakar sejarah mengatakan beliau mati akibat kesan peluru di lehernya semasa cubaan membunuhnya sebelum itu. Mayatnya telah diawet dan dipamerkan di Lenin Mausoleum, Moscow.

Inilah buktinya bahawa fitrah kejadian manusia begitu berhajat kepada Allah SWT dan menyerah diri kepada-Nya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

{Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.} [Ar-R'ad: 28]

Maka, beriman kepada Allah SWT adalah hakikat yang dapat menambahkan kebenaran dari masa ke semasa, dan tidak akan berubah segala bukti keterangan ini kecuali bagi mereka yang syirik dan bermegah-megah dengan tindak-tanduk mereka. Sedangkan hujah-hujah mereka adalah fasiq, ditolak oleh akal fikiran dan fitrah kejadian manusia.

Diterjemahkan dari kitab: الأسئلة العقائدية عند الأطفال والاءجابة عليها
posted by Ayub @ 8:23 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home