1 Syawal 1429H
Ahad, 26 Oktober 2008
1 Syawal 1429H. Itu Aidilfitri terakhirku di Republik Yaman. Raya terakhir untuk ku di tanah berdebu penuh nostalgia ini. Ya, kali terakhir. Bukan kebarangkalian lagi. Aku yakin. Penuh pasti.

Pagi itu aku singgah sebentar di rumah Watary. Sekilas terimbas kenangan-kenangan di kotak memori. Teman-teman sejalanan di rumah ini yang kini masing-masing telah pulang. Berjuang di medan sendiri. Sekarang, generasi baru yang menghuninya. Junior get ready untuk sebuah pengembaraan. Aku doakan agar mereka menempa kenajahan.

Aku kemudiannya menuruni anak tangga bayt Watary satu-persatu. Mengatur langkah ke Restoran Damai yang tidak sampai 50 meter dari bayt Watary. Restoran tertutup berusia hampir setahun itu milik seorang usahawan dari Malaysia. Pak Cik Mohammad panggilan timangannya. Di situlah majlis Aidilfitri yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) akan berlangsung pada pagi 1 Syawal yang ‘damai’ itu.


“Ini raya terakhir,“ getar hatiku.

Sejurus memasuki perkarangan Restoran Damai jiwa terus diusik kesayuan. Terlihatkan teman-teman bemanis muka tanda kemenangan sebulan di madrasah siyam begitu mengheret emosiku. Langsung ragaku berpinar tatkala bertukarnya ucap salam minal ’aidin dengan mereka yang tampak kemas berpakaian meneledani sunnah. Aku juga tak ubah halnya seperti mereka, begitu pada lahirnya. Namun jika tersingkap hijab lahiri itu, jelas sangat berbeza antara aku dengan mereka. Kerana, seperti yang digetarkan oleh hatiku, “ini raya terakhir”.

Benar, itu raya terakhir buatku di Bumi Iman dan Hikmah ini. Justeru dalam masa terdekat ini juga aku sudah menjadualkan untuk pulang ke tanah air, Malaysia. Kembali ke sisi keluarga dan bonda tercinta.

Ahh, bonda.

“Maaf bonda, kepulangan anakandamu ini tidak sebagaimana yang bonda citakan.”

“Namun, Insyallah akan anakanda buktikan kepada bonda seisi keluarga bahawa perjalanan anakanda selama hampir satu dekad di sini tidak sia-sia.”

Itu anakanda semat sebagai janji.

Pagi itu, sahabatku Bilal tampil berdiri segak di hadapan para jemaah untuk menyampaikan khutbah Aidilfiri. Beliau juga selaku ketua kami. Presiden persatuan pelajar yang kami support selama ini. PERMAYA.

Hurm, PERMAYA.

Terlalu banyak nostalgia pahit-manis, hilai-tangis bersamanya untuk dikenangkan. Dari mula berpijak di sini, aku sudah mulai mengenal PERMAYA. Hingga ke hari ini, aku telah penempuhi satu tempoh yang panjang bersama PERMAYA.

Pantas sekali jika ku menjunjung kasih kepada pihak PERMAYA. Terima kasih buat abang-abang dan juga teman-teman yang banyak menghulurkan bantuan serta kerjasama juga tunjuk ajar mereka yang amat berguna bagiku. Banyak pengalaman dan amali hidup bermasyarakat yang dapat aku pelajari daripada kalian. Serius, memang sukar untuk diungkap betapa ku ucapkan penghargaan kasihku kepada kalian.

Allahukbar. Allahuakbar. Allahukbar.

Sebelum solat Aidilfitri yang diimamkan oleh kamcingku, Ustaz Aisar (di kalangan kami yang femes dengan gelaran Cha), aku sempat duduk bersila menyertai sahabat-sahabat yang sedang asyik bertakbir penuh bersemangat membesarkan zat Tuhan Pencipta. Allah maha besar. Dia maha berkehendak. Dia menggenggam segala apa yang berlaku. Semua Dia sudah tetapkan. Dengan kuasa KUN, serata penduduk bumi dan petala langit sujud, akur dengan-Nya. Semua adalah rahsia-Nya. Apa jua kejadian. Dialah yang maha mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya. Buat kita. Juga diriku yang lemah hina ini.

Sungguh, Aidilfitri itu amat-amat mengusik jiwaku. Bagai terpampang episod ilusi di ruang mata. Kenangan demi kenangan tidak henti berkunjung. Tiba sebabak-sebabak tanpaku arah. Ahh, begitu indah walaupun terselit kepahitan di celahnya. Kenangan yang mengajarku arti kehidupan. Kenangan yang bisa mematangkan langkahku di hari mendatang. Yang pantas menunjukki buatku nilai sebuah persahabatan. Kasih sayang dan cinta.

Kepada sahabat dan teman-teman yang mengenaliku atau yang pernah bersua denganku walaupun sedetik ketika berada di Yaman, ku menyusun jemari minta kemaafan. Aku tadah jiwa raga memohon keampunan daripada kalian semua. Aku tahu, dengan kelemahan diri ini, banyak kesilapan yang sudah ku lakukan. Tidak sedikit ketaksiran yang pernahku ciptakan. Bukan sekali keterlanjuran telahku pertontonkan.

Al-maklum, kita bukannya malaikat Tuhan yang jauh dari pencemaran dosa-dosa. Dari itu, kemaafan, kemaafan, dan juga kemaafan yang ku pinta daripada kalian atas segala dosa-dosa. Pasti ianya ujud dalam sedar mahupun tidak. Pemaaf itu sifat termulia para rasul kan? Aku yakin kalian arif tentangnya. Justeru, ampunkan dosa-dosaku. Ampunkanlah.

Kepada kalian yang masih tegar di bumi perantauan Hud-hud ini, teruskanlah perjuangan murni kalian. Ku seru kepada Tuhan penakluk alam, permudahkanlah sahabat-sahabatku mendalami ilmu-Mu. Kurniakanlah kepada mereka ilmu bermanfaat di dunia juga akhirat. Moga kalian mendapat kemanisan iman serta kehebatan hikmah yang tertanam di tanah kontang ini. Kalian juga jangan terlepas mendoakan ku. Hasanah duniawi hasanah ukhrawi. Itu doa termulia ku fikirkan.

Ohh ya! Hampir terlupa pula inginku berpesan agar sama-samalah kalian terusan mendokong PERMAYA. Itu persatuan kita. Itu sejuzuk dari perjuangan kita. Ahh, itu sudah di anggap keluarga antara kita. Dan ingat, itu sebuah amanah yang ditaklifkan kepada kita. Amanah. Bukannya jalan pintas untuk mencipta nama. Bukan juga pentas untuk operakan drama.

Aku berhenti setakat ini saja. Entri ini persis kata hati. Luahan terbuku yang minta dimengerti. Selagi langit dijunjung tinggi, dan hamparan bumi mengalas kaki, pasti suatu masa kita bersua lagi. Demikian janjiku seizin ilahi.
posted by Ayub @ 10:48 PG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home