Mansuh ISA
Jumaat, 24 Julai 2009


Mansuh bukan pinda
Oleh: Ustaz Nasrudin Hj Hasan At-Tantawi

1. ISA tidak lagi relevan ! begitulah ungkapan Tun Abdullah Ahmad Badawi . Buat pertama kalinya saya bersetuju dengan Tun Abdullah dengan pengakuan ini .

2. ISA yang diwujudkan sejak 1 ogos 1960 [ 1 ogos 2009 kelak genap 49 tahun beroperasi ] adalah bertujuan untuk mencegah golongan subversif dan komunis yang mengancam keselamatan negara .

3. Menurut bekas Presiden Majlis Peguam Haji Sulaiman Abdullah , Majlis Peguam membantah akta ini [ ISA ] kerana berpagang kepada sebab – sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua [ Tun Abdul Razak ] ketika beliau membentang ISA di Parlimen satu ketika dulu atas ancaman subversif dan pengganas komunis . [ Mingguan Malaysia , 25 Jun 2000 ]

4. Rasionalnya , apabila pergerakan dan ancaman subversif atau komunis telah tidak lagi wujud dalam negara kita , maka akta ini mestilah dimansuhkan terus oleh parlimen .

5. Sungguh ! bahawa keselamatan negara mestilah dikawal dan dipelihara . Persoalannya ialah negara kita telah merdeka sejak sekian lama . Bukankah Negara memiliki PDRM , SPRM , institusi kehakiman , Jabatan pendakwaraya , peguam negara dan institusi mahkamah yang sangat terhormat dalam negara kita . Apakah segala institusi yang ada ini belum memadai untuk menjaga keselamatan negara dan menegakkan keadilan ? sehingga memaksa akta seperti ISA dikekalkan ? tidak masuk aqal !

6. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang memberi kuasa kepada menteri [ orang politik ] untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki mengancam keselamatan negara di mansuhkan kerana ia membuka ruang untuk menteri selaku orang politik bertindak zalim ke atas musuh politiknya .

7. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang menahan dan memenjara mangsa tanpa mendatangkan bukti serta di adili di mahkamah di mansuhkan kerana ia zalim dan menafikan hak individu membela diri atau mendapat hak pembelaan di mahkamah .

8. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang banyak digunakan untuk menangkap musuh politik tidak terus dijadikan mesin hayat pemerintah yang zalim berselindung pula disebalik undang – undang yang zalim dan primitif .

9. ISA tidak demokratik . Bahkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 Fasal 4 bahawa undang – undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam [ tidak termasuk perjalanan yang perlu ] dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu .

10 . Kerana saya tidak setuju ! ISA mesti dimansuhkan ! Anda setuju ?

posted by Ayub @ 11:56 PG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home