Hakikat Islam, Iman, Ihsan (Ikhlas), Dan Tanda Hari Kiamat. (Bhg. 1)
Sabtu, 16 April 2011
Daripada sayidina Umar r.a berkata, Maksudnya:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam; yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir, dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua pada Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang Islam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Islam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Makkah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya”. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang Iman. Baginda bersabda: “(Iman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para Malaikat-Nya, kitab-kitabNya, para rasul-Nya, Hari Kiamat, dan bahawa engkau percaya kepada qadar baik dan buruk”. Lelaki itu berkata: Benarlah kamu. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang kiamat. Baginda bersabda: “Orang yang ditanya tentang kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya”. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: “(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya, dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian, dan papa kedana yang hanya menjadi penggembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)”. Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?”. Aku berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu”.

Hadis riwayat Imam Muslim (hadis riwayat Muslim, kitab al-Iman, no:9 & 10, at-Tirmizi, kitab al-Iman, no: 2535, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih, an-Nasaa’ie, kitab al-Iman, no: 4904,4905, Abu Dawud, kitab al-Sunnah, no: 4075, Ibn Majah, kitab al-Muqaddimah, no: 62 & 63, Ahmad, Musnad العشرة المبشرين , no: 349).

Nilaiannya:

Hadis ini mempunyai nilaian atau martabat di dalam hukum Islam. Ibnu Hajar al-Haithami berkata: “Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim adalah satu-satunya hadis yang dipersetujui tentang besar kepentingannya dan hukum-hukumnya, kerana meliputi padanya segala urusan ibadat yang zahir dan batin; dari urusan keimanan dan pekerjaan anggota hingga urusan keikhlasan hati dan batin dan pengawasan dari bencana- bencana yang merosakkan amal. Malah hadis ini adalah tempat kembali segala ilmu syariat, dan daripadanya pula tumbuh cabang-cabangnya”.

Kedatangan malaikat untuk mengajar urusan agama:

1- Malaikat datang menjelma sebagai seorang manusia

Sayidina Umar menerangkan di awal hadis tersebut: (Bahawa pada suatu hari kami duduk bersama Nabi SAW di dalam satu majlis, maka pada waktu itu datanglah kepada kami seorang lelaki dengan secara tiba-tiba, pakaiannya bersangatan putih, janggutnya bersangatan hitam, tidak ada padanya sebarang tanda bahawa dia seorang musafir yang sedang dalam perjalanan. Di antara kami tiada seorang jua pun yang pernah melihat wajahnya. Kemudian dia pun datang menghampiri Nabi, lalu duduk seperti orang sudah lama kenalan dan bersahabat) – Sebagaimana yang diceritakan pada hadis tersebut.

Orang yang datang dengan cara yang demikian rupa serta luar biasa pula keadaan tingkah lakunya ialah seorang malaikat yang menjelmakan dirinya sebagai seorang manusia. Kedatangannya bermaksud untuk menyampai dan mengajar agama kepada Rasulullah dan umatnya perkara yang mengenai hakikat Islam, Iman, ihsan (ikhlas), dan tanda Hari Kiamat.

2- Rukun Islam

Setelah orang yang datang tadi bertanya kepada Nabi SAW tentang Islam, iaitu apakah Islam itu? Lalu Nabi pun menjawab sebagaimana yang disebut di dalam hadis tersebut; iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Kedua: Mendirikan sembahyang. Ketiga: Mengeluarkan zakat. Keempat: Berpuasa di bulan Ramadhan. Kelima: Mengerjakan haji di Baitullah jika mampu.

Inilah rukun Islam yang lima. Dengannya, menjadikan seseorang manusia itu beragama Islam, malah terpeliharalah dia dari kemurkaan Allah seandainya ditunaikan rukun-rukun itu dengan cara yang sebaik-baiknya serta dilaksanakan pula hukum-hukum yang bertalian dengan syariatnya.

Islam adalah agama Allah yang diwahyukan kepada para rasul-Nya, yang nyata terbukti kebenarannya, yang menjamin keselamatan hidup kepada pemeluknya, yang menegaskan janji balasan baik dan jahat kepada orang yang melakukannya. Inilah agama yang mesti dipegang teguh oleh setiap manusia yang beragama, kerana agama inilah sahaja yang benar serta diredai Allah. Firman-Nya:

(“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam”) – Ali Imraan; 19


Firman-Nya lagi:

(“Dan Aku telah redha Islam itu sebagai agama untuk kamu”) – al-Maaidah; 3


Oleh yang demikian, tidaklah ada sebarang alasan untuk mencari agama lain; yang sudah terang tidak benar dan tidak diredhai Allah, Tuhan Pencipta alam buana. Seluruh makhluk tunduk kepada kekuasaan-Nya, patuh kepada peraturan-Nya, sama ada secara sukarela atau dengan paksa. Firman-Nya:

(“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan”) – Ali Imraan; 83


Seluruh alam sekalian makhluk adalah terjadi menurut kehendak dan kudrat Allah SWT. Sebab itu, tidak ada daripada kejadian alam dan perjalanan makhluk yang dapat menyimpang dari peraturan yang ditetapkan; semuanya ‘Islam’, dalam erti kata tunduk kepada kekuasaan-Nya.

Sebagai contoh: Lihatlah kepada matahari dan bulan yang beredar mengikut garisan perjalanan yang lebih dahulu telah diaturkan Allah. Perhatikanlah tumbuh-tumbuhan; pertumbuhan sebatang pokok sehingga menerbitkan buahnya yang manis atau masam adalah menurut ketentuan yang telah ditetapkan-Nya juga. Tanpa menurut garisan dan ketentuan-Nya itu, akan menyebabkan kerosakan alam dan kebinasaan segala yang berkaitan dengannya. Inilah sebagai contoh bahawa makhluk di dalam alam ini mesti tunduk kepada Allah SWT demi keselamatan dirinya dan kejadian yang lainnya.

Demikianlah, kalau makhluk yang tidak berakal lagikan tunduk kepada peraturan Ilahi, maka apakah gerangan sebabnya manusia yang berakal tidak mahu patuh kepada-Nya secara keseluruhannya?

Padahal kepatuhan itulah sifat yang sebaik-baiknya. Sesuai dengan asal fitrah atau kejadiannya. Itulah yang dikatakan hakikat daripada falsafah pengertian Islam. Firman-Nya:

(“Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya”) – an-Nisaa'; 125


Firman-Nya lagi:

(“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”) – az-Zumar; 54



Bersambung...

posted by Ayub @ 5:42 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home